Khamis, 5 Mac 2015

Ulasan Buku : "i lap u" oleh Za'im Yusoff.

Beberapa minggu lepas, saudara Za'im Yusoff menghubungi saya bertanyakan alamat agar dia dapat mengirimkan naskah "i lap u" kepada saya. Agaknya cubaan pertama menghantar buku tersebut tidak ditakdirkan terjadi lalu ia dikembalikan semula oleh pihak pos kepada penulisnya. Seminggu kemudian, buku ini akhirnya saya terima dengan selamat.

Lazimnya, saya menulis ulasan pendek dan bersahaja tentang sebuah buku di laman Goodreads, namun saya terpanggil untuk menulis ulasan yang lebih panjang dan (sedikit) teliti setelah menghabiskan bacaan buku ini dalam tempoh semalaman. Bukanlah bermakna buku-buku yang diulas secara ringkas mahupun yang langsung tidak diulas itu tidak bagus namun ada waktunya, sebuah perjalanan dan pengalaman membaca naskah itu tidak mampu dirakam dengan cara bertulis tetapi hanya mampu dirasakan sebagai getar dalam momen perjalanan membacanya.

Buku I Lap U bermula dengan beberapa catatan yang ditulis oleh beberapa rakan pembaca lain, yang rata-ratanya menulis tentang pengalaman mereka menyusuri denai-denai yang ada dalam buku ini. Saya memilih untuk melangkaui beberapa mukasurat catatan ini kerana pada pendapat saya, membaca review sebelum membaca karya itu sendiri sedikit sebanyak mengganggu perjalanan membaca serta menghadirkan sebuah harapan dan pandangan yang tercipta sebelum waktunya. Ibarat melancong ke sebuah negara dan menerokai tempat-tempatnya hanya dengan berdasarkan saranan Tripadvisor. Ini bukan hal yang utama namun setiap pembaca ada cara tersendiri bila menerokai mukasurat dalam sebuah buku.

Hari ini pembaca disajikan dengan puisi-puisi bersifat "pop" yang ditulis ramai penulis mutakhir. Namun apakah puisi pop bermakna sebuah puisi itu seolah-olah dibebaskan dari kekangan nada, rima, metafora dan elemen-elemen lain yang menjadi asas puisi? Sudah tentu tidak. Puisi pop adalah tentang kreativiti dan idea-idea yang hadir untuk mencabar tradisi puisi.

Membaca tulisan Za'im Yusoff dalam buku ini, sesekali saya tersenyum membaca baris-baris katanya. Betapa penulis ini masih ligat menjalinkan metafora dalam puisi-puisinya yang bersifat kontemporari serta berusaha untuk membebaskan diri dari klise yang sering hadir dalam puisi pop, tidak pula terikat dengan klise yang sering ada dalam puisi-puisi arus perdana.

Dalam buku ini, Za'im mendekati tema-tema yang bersifat melankolik, penuh dengan suasana percintaan. Membaca puisi-puisi bertemakan cinta, lazimnya pembaca akan mengaitkan persoalan-persoalan yang ada dalam karya sebegini sebagai suatu pemerhatian terhadap dua individu lelaki dan perempuan, yang sedang bercinta. Tidak dinafikan kebanyakan puisi dalam buku ini sememangnya melihat ke arah itu namun Za'im masih tidak lupa bahawa cinta bukan sahaja dimiliki oleh sepasang kekasih malah berasal dari pengalaman rohani dan cinta kepada Pencipta. Za'im menggambarkan suasana ini dalam puisi bertajuk Nota Cinta;

Tetapi rasa cinta yang Tuhan beri
ialah jalan untuk kita hargai
kewujudan Tuhan.
Agar kita sedar, Tuhan itu
sebaik-baik pergantungan
dalam apa jua hal.
Malah, hal-hal
yang melangkaui
-cinta. 
 Saya setuju dengan kata-kata Hairul Anuar Harun dalam ulasan pendeknya tentang buku ini. Rojak kata yang ditemui dalam sebilangan puisi-puisi Za'im ini barangkali tidak disenangi para sarjana sastera yang mengutamakan tradisi puisi yang lazim. Sungguhpun Za'im menghidangkan beberapa pinggan kecil rojak, ia tetap terasa sedap di lidah pembaca. Za'im menghidangkan rojak kata bukan sebagai alternatif atau gaya/teknik baru dalam penulisannya. Za'im sememangnya berniat dari awal lagi untuk menggauli puisinya dengan rojak kata dengan alasan rojak kata ini hadir bersama makna serta tugasnya yang tersendiri dalam mendirikan puisi-puisinya.

Jika saya harus memilih puisi mana yang menjadi personal favourite, saya akan segera memilih puisi bertajuk Piano Hayat. Dalam puisi ini, Za'im memperlihatkan kebolehannya membuat perlambangan dalam puisi dengan cara melambangkan kunci-kunci piano yang berwarna hitam putih itu sebagai suka dan duka dalam sebuah hubungan cinta;

Nota putih itu
kenangan manis,
nota hitam itu
tragedi tragis.
Sememangnya pengalaman bercinta sepasang kekasih tidak terlepas dari emosi dan perasaan bahagia serta gundah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan hubungan cinta sememangnya ditakdirkan untuk berlangsung seperti cuaca, cerah di waktu pagi hingga ke waktu petang, di hari lainnya, kadang-kala hujan tiba-tiba di waktu tengahari. Za'im mencatat pengalaman ini dalam rangkap seterusnya;

Lantas, Cinta
pernahkan kau dengar lagu
di mana kedua nota itu
tidak pernah bersatu?
Mengamati gaya serta cara penglihatan Za'im dalam menghasilkan puisi-puisi dalam buku ini, pembaca pasti akan melihat betapa penulisnya seorang yang berusaha untuk mempelbagaikan gaya serta teknik menulis puisi. Puisi Cerita Bawah Bulan dan Mansion De L'Amour misalnya, adalah sebuah usaha merakam pengalaman penulis dalam bentuk kata dan visual. Sungguhpun teknik puisi visual bukanlah sebuah teknik yang baru dalam dunia penulisan puisi, usaha Za'im untuk mencuba teknik ini tetap harus diberi pujian, setelah melihat perkembangan teknik penulisan puisi mutakhir yang kelihatan agak mendatar dan kurang rancak.

Seorang penulis puisi yang baik adalah seorang individu yang sentiasa bekerja keras untuk menerokai segala kemungkinan yang boleh berlaku dalam penulisannya, dan tidak takut serta penat untuk meluangkan masanya menghadapi kata serta makna yang selalu gelisah. Saya senang melihat Za'im begitu tekun mencatat nota kaki yang menerangkan makna kata-kata tertentu yang digunakan dalam sebilangan puisinya. Betapa penulis ini ingin sekali pembacanya menyusuri denai-denai puisinya dengan perasaan aman, tanpa perlu merujuk kamus bahasa sebagai papan tanda.

Buku I Lap U adalah sebuah buku yang dilumuri tekad serta usaha penulisnya untuk terlibat secara serius dalam bidang penulisan. Sebuah usaha yang seharusnya menggelisahkan penulis-penulis mapan, dan pada waktu yang sama, sebagai seruan persaingan kepada penulis-penulis baru bahawa menulis puisi ibarat berada dalam sebuah kota yang tidak pernah tidur malah sentiasa hingar dengan ketikan papan kekunci. Tahniah kepada Za'im Yusoff atas usaha yang baik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan